Sunday, March 1, 2009

Artikel..

Oleh Husam Musa

Di celah krisis ekonomi sedunia, apakah yang perlu dirangsangkan?

Ciri-ciri krisis ini antara lain ialah matawang turun naik tak menentu. Ringgit melemah. Ada pihak meramal ringgit turun sampai RM 3.80 berbanding satu USD. Import akan menjadi mahal. Inflasi akan naik kecuali negara dapat mengeluarkan gantian import melalui ransangan pengeluaran keperluan kita dalam negara.

Yang perlu dirangsang ialah peningkatan penggantian import dan pengeluaran domestik.Pasaran saham merudum. Bank mungkin terjejas bila pinjaman tak berbayar meningkat mendadak sama seperti kita pernah alami sekitar 90an. NPL akan menggoncang bank-bank sekali lagi.

Ekonomi melembab. Harga komoditi turun. Kesannya, pendapatan rakyat menurun. Pengganguran meningkat. Hasil negara turut terjejas.

Jangkaan Najib bahawa hasil negara tahun 2009 berkurangan hanya RM8 billion saja tentunya tak benar. Paling tidak, dengan kejatuhan harga minyak mentah, sawit dan getah, hasil negara 2009 berkurangan sekitar RM 20 billion atau lebih.

Yang perlu dirangsang ialah pewujudan peluang kerja produktif. Juga pengunaan alternatif komoditi utama kita.

Kenapa tak fikirkan kemudahan canggih dan lengkap untuk industri perikanan di Pantai Timur dan Malaysia Timur? Hasil laut kita sebahagian besar kini didaratkan di Thailand dan kita mengimport ikan yang ditangkap di perairan kita sendiri kerana kita tidak mempunyai rangsangan yang cukup dan lengkap untuk sebuah pembangunan industri perikanan yang sempurna. Aneh tapi benar.

Rangsangan yang diumumkan Najib lebih berunsurkan rangsangan politik - rumah dan sekolah(pendidikan). Lagi-lagi pengangkutan awam. Saling tak tumpah seperti pre emptive strike yang pernah dilancarkan Tun Mahathir yang berakhir dengan pembinaan sekolah rendah seakan kampus universiti di tengah hutan belantara.

Setengahnya, bumbung makmal komputer runtuh dan seribu satu macam jenaka dan sandiwara lagi. (Pre emptive itu dijadikan peluang kroni tertentu mendapat projek).

Ia tak menggambarkan daya kreativiti Najib sebagai Menteri Kewangan dinamik menggantikan Menteri sebelumnya. Stimulus amat ala kadar tanpa falsafah kukuh mendasarinya.

7 bilion (cadangan baru) dicampur 5 bilion (dari KWSP) untuk pasaran saham, RM12 bilion. Kita bimbang, wang habis, ekonomi tetap kuyup. Nanti kita kena berbelanja lagi.

Jika setiap negeri diberi peluang merangka program rangsangan ekonomi masing-masing selari dengan keperluan negara dan diberikan peruntukan RM 200 juta setiap negeri, kita hanya perlukan 2.6 billion saja dan saya yakin, kesannya berlipat ganda kerana Negeri lebih memahami apa yang berkesan untuk negeri masing-masing. Umpamanya perumahan.

Ia boleh menjadi rangsangan aktiviti ekonomi di negeri tertentu tetapi mungkin menambah 'bubble' pada negeri tertentu.

Tiba masanya stimulus seperti ini di 'empower' (diperkuatkan) sama kepada negeri-negeri. Rangsangan baru, bukan rangsangan lama diulang tayang berkali-kali.



Kawalan Barang Keperluan Dipanjangkan
Bernama, 6 Okt 2005


KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan kawalan harga terhadap barang-barang keperluan yang sebelum ini hanya dikuatkuasakan pada musim perayaan akan dipanjangkan sehingga enam bulan sebagai langkah mengawal harga barangan ekoran peningkatan harga bahan api.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan akan menyelaraskan harga barangan berkenaan berdasarkan keadaan semasa dan lokasi.

"Saya akan umumkan pada 12 Okt nanti selepas mesyuarat kabinet setelah senarai barangan dan harga yang ditetapkan diperakukan. Kita juga perlu buat penyesuaian kerana ada kenaikan harga minyak, kita tidak boleh mengasaskan harga pada tahun ini berdasarkan harga pada tahun-tahun sudah," katanya di Dewan Rakyat di sini Khamis.

Mohd Shafie menjawab soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang ingin tahu langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah peniaga yang mengambil kesempatan daripada kenaikan harga petroleum dan diesel dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

Mohd Shafie berkata kementerian juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan yang akan bertindak umpamanya membatalkan lesen pengusaha warung yang menaikkan harga jualan secara melampau.

"Kita dapati daripada kajian yang kita telah buat tidak sampai pun 10 peratus kesan kenaikan harga minyak terhadap barang-barang seperti nasi bungkus, nasi ayam ataupun teh tarik atau Nescafe susu, tapi malangnya ada peniaga ambil kesempatan," katanya.

Mohd Shafie berkata bagi mengatasi masalah itu, kerajaan baru-baru ini telah mengeluarkan arahan agar peniaga mempamerkan senarai harga jualan mereka, selain meningkatkan penguatkuasaan.

Menjawab soalan tambahan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), beliau berkata pengguna juga harus memainkan peranan dengan berbelanja secara bijak.

"Jika tahu ada tempat yang jual murah, mengapa nak beli di tempat yang mahal juga. Kita dah tahu minum teh tarik di warung cuma 70 sen tetapi di hotel sampai RM3. Kenapa nak pergi ke hotel? Kita harus fikir secara realistik, hotel mahal kerana perkhidmatannya," katanya.

Terdahulu Mohd Shafie berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan di negara ini seperti dengan mengadakan perbincangan dengan pihak industri antaranya bagi menasihatkan mereka supaya tidak mengenakan harga yang tinggi atau menaikkan harga produk masing-masing.

"Hasil positif telah diperolehi kerana pihak-pihak yang terlibat telah memberikan komitmen mereka bahawa sebarang langkah menaikkan harga barangan, terutama harga barangan kawalan dan keperluan, hendaklah dirunding dahulu dan mengambil kira kedudukan serta kebajikan golongan pengguna," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment